Tidak banyak tanda-tanda Ziana Zain sudah dimamah usia. Kejelitaan itu turut membuatkan rezeki penyanyi lagu Puncak Kasih dan Anggapanmu itu semakin bertambah. Tidak hanya dalam dunia nyanyian sahaja, terkini Ziana terpilih menjadi duta sebuah produk kecantikan.
Isteri kepada Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin dan ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkongsi tip untuk kelihatan kekal kelihatan muda sepertinya.
"Pastinya usaha menjaga kesihatan dan kecantikan harus diberi perhatian. Saya sendiri seorang yang cerewet tentang penjagaan wajah dan tubuh. Jadi, perkara pertama adalah kita perlu faham tentang tubuh sendiri sebelum mengambil apa-apa produk.
"Saya banyak bereksperimen dengan diri sendiri untuk mencari produk terbaik. Banyak juga masa dihabiskan di farmasi semata-mata untuk mendapat maklumat tentang kandungan sesuatu produk.